Sunday, January 24, 2010

Guru saman malu RM1.5j

ALOR STAR: Sepasang suami isteri yang juga guru sekolah kebangsaan di sini, memfailkan saman malu RM1.5 juta terhadap tiga defendan termasuk dua bekas guru besar sekolah kerana didakwa memfitnah dan mengaibkan mereka ketika mengajar di sekolah kebangsaan di sini.


Writ saman itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Khairil & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, pada jam 11.40 pagi semalam.


Mohd Afandi Abd Hamid, 39, selaku plaintif, menamakan pegawai Jabatan Pelajaran Kedah, Munajat Tamrin, sebagai defendan pertama, bekas guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Star, Noriah Murad, sebagai defendan kedua dan bekas guru besar SK Iskandar, Abdul Aziz Hanifa, sebagai defendan ketiga.


Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Afandi mendakwa bekas guru besar sekolah lamanya pada 2004, SK Iskandar dan pegawai Jabatan Pelajaran Kedah bersekongkol untuk mewujudkan tekanan dan penderaan secara mental kerana wujudnya rasa tidak puas hati mereka terhadap plaintif.


“Saya dan isteri, Roziani Mohd Rozi, 38, guru SK Alor Star yang juga plaintif kedua mengemukakan saman malu terhadap ketiga-tiga defendan kerana bersubahat dalam urusan pentadbiran sehingga kami terpaksa menanggung malu dan beban.

“Bekas guru besar SK Iskandar itu marah selepas saya membuat aduan kepada pihak atasan mengenai tingkah lakunya dan sejak itu dia mengaibkan dan memalukan saya dengan melemparkan pelbagai cerita buruk terhadap saya.


“Dia juga mempengaruhi bekas guru besar SK Alor Star, tempat isteri saya mengajar dengan menahan gaji isteri selama setahun kerana mengambil cuti sakit, selain tidak berpuas hati dengan tindakan saya melaporkan perkara itu kepada Jabatan Pelajaran Kedah.


“Akibatnya saya ditukarkan ke SK Bukit Tampoi, Kuala Nerang pada 2005 di atas bantuan pegawai pelajaran terbabit,” katanya yang ditemui di sini, semalam.


Beliau berkata, sejak ditukarkan ke sekolah itu, dia mengalami tekanan perasaan dan terpaksa mengambil cuti sakit satu setengah tahun akibat kejadian berkenaan.


“Emosi saya semakin tertekan selepas perbuatan defendan menukarkan saya ke sekolah yang jauh dengan isteri. Perbuatan itu juga menyebabkan saya malu, sekali gus menjejaskan kerjaya saya sebagai pendidik sejak 15 tahun lalu.


“Saya membuat aduan dan rayuan melalui Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya saya ditukarkan semula ke sekolah sekitar Alor Star.


“Selepas lebih setahun menunggu proses pertukaran, akhirnya pada pertengahan 2006 saya ditukarkan ke sebuah sekolah di Alor Star,” katanya.

Dalam pernyataan tuntutannya, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi teladan RM500,000 daripada defendan pertama dan kedua, ganti rugi teladan RM500,000 daripada defendan pertama dan ketiga serta ganti rugi teladan RM500,000 daripada defendan pertama.



Utama